Sunday, November 11, 2007

Bersihkan Demokrasi, Kembalikan kedaulatan rakyat: Catatan perjalanan menuntut keadilan

Oleh Sivaraja Nagesan

“Ama, ini tosai banyak sedap la.Tapi saya tak bleh lama ni. Si Samdol dah tunggu di luar tu.”


“ Ye lah nak. Ambil baju ni. Jaga diri baik-baik. Jangan kamu berpisah dengan Samdol pulak di sana nanti ye. Mak doakan keselamatan kamu.” Balas ibuku sambil menghulurkan sehelai baju berwarna kuning.


Aku menyambut tangan ibuku yang masih bersalutkan tepung tosai yang baru dimasak untuk aku tadi. Deepavali tahun ini sangat istimewa untuk aku. Disamping kenaikkan harga barang yang menggila, kami sekeluarga telah berjaya mengubah tabiat perbelanjaan kami yang sebelum ini bagaikan 'Raja Sehari sewaktu Deepavali' bak kata pepatah Melayu bercampur Tamil.


Walaupun begitu, sudah tentu selaku rakyat kelas bawahan, kami tidak mudah lupa kepada kesengsaraan golongan seperti kami untuk meniti hidup yang penuh liku ini. Deepavali kali ini aku sudah berhajat untuk bersama-sama dengan rakan karibku untuk turun padang demokrasi bagi menyelamatkan keadilan nasional yang semakin hari semakin menghimpit golongan rakyat jelata seperti kami ini.


“Hoi Sivaa! Lambatnya kau. Cepatlah kita jalan sekarang. Karang lambat pulak sampai tempat berkumpul tu. Aku dengar polis dah buat road block di kebanyakkan jalan menuju ke pusat Bandar.” Sapa si Samdol, rakan sekelasku yang sememangnya terkenal dengan semangat perjuangan harmoni.


Tanpa membuang masa, kami berjalan ke hadapan kedai Makcik Kiah untuk mengambil teksi . Rumah kami tak jauh dari stesen LRT Putra Kampung Baru. Jam tangan menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Perutku mula memulas, mungkin akibat mencicah kari kambing yang ibuku masak tadi dengan begitu banyak.


Ah, itu bukan masalah besar bagiku. Maklumlah, keperitan hidup dalam kawasan kampung yang dihujani dengan hutan konkrit moden seperti KLCC telah membuka mata aku untuk memfokus masalah yang lebih besar daripada semua itu. Perut sendiri tidak sama penting dengan perut 20,000 penduduk miskin di kawasan kampung aku ini.


Tanpa membuang masa, kami terus membeli tiket LRT untuk ke stesen Masjid Jamek. Samdol kata, salah satu tempat berkumpul terletak di kawasan itu. Aku faham benar dan sangat percayakan Samdol. Dia tidak seperti Melayu Bandar yang lain. Samdol senantiasa membantu aku dan Ama setelah kematian bapaku di lebuhraya Grik akibat kemalangan jalan raya. Lain pula cerita ADUN kawasan aku, nama saja Melayu tapi kebajikan ahli kawasannya seperti kera terpinggir di tepi kebun manggis. Menagih buah yang manis tetapi tidak boleh dipetik akibat pagar besi yang menggunung tinggi.


“ Kita kena bangun Siva. Tak guna lagi kita duduk diam dan harapkan bantuan daripada wakil rakyat yang korup. Mereka hanya bantu rakan-rakan yang boleh bagi fulus. Orang miskin macam kita ni dapat bagi apa? Buang air liur je kau nak bertekak dengan depa” ulas si Samdol dalam loghat Perak yang kadang-kadang tak menjadi langsung, maklumlah dah jadi orang KL la katakan.


Atas sebab itulah aku dan Samdol telah bertekad untuk bersama-sama dengan ribuan rakyat yang lain untuk berpadu tenaga dan harapan bagi menolak korupsi dan menegakkan kembali keadilan dalam Negara kita yang bakal dizahirkan dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang yang dianjurkan oleh BERSIH, sebuah badan gabungan beberapa NGO dan parti politik alternatif pada hari ini. Tekad, aku memang tekad untuk ini Sejarah Malaysia bakal berubah.


1.00 pm.


“Wah, ini hari apa Samdol? Apa pasal ramai sangat dalam Masjid tu?Ada solat jumaat ka?” sambil jari telunjuk aku menunding ke arah Masjid Jamek yang penuh bersejarah sewaktu aku melangkah keluar dari stesen LRT.


“ Ish, ko ni. Ini hari Sabtu la, 10 november. Orang dah solat semalam.” Balas Samdol sambil mengambil keluar kain pelikat yang dibawanya.


Aku macam tak percaya. Selalu hari Jumaat saja org Islam berkumpul seramai ini dalam masjid bersejarah ini. Perpaduan yang aku lihat sewaktu mereka bersolat zuhur sangat memukau diriku. Bukan aku tak pernah tengok orang Islam solat berjemaah tetapi, kali ini aku dapat rasakan kelainan. Seolah-olah aura keikhlasan dan keadilan memercik-mercik ke arah mukaku pada saat itu.


Selesai sahaja solat Zuhur, para jemaah tadi terus menyiapkan diri dengan baju berwarna kuning. Oh, aku hampir terlupa yang aku juga turut membawa dalam beg plastik Mydin di tangan aku ini. Aku terus mengenakan baju kuning yang bertanda BERSIH di hadapannya dan beberapa tuntutan pembaik pulihan Pilihan Raya di belakang. Samdol masih tidak kelihatan. Mungkin dia solat hajat. Aku biasa dengar yang orang Islam kalau nak lakukan kerja-kerja penting, mereka akan berserah kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa dalam solat mereka. Tentu Samdol sedang bersolat hajat.


2.00 pm.


“Aiseh hujan pulak… bingkas aku merungut setelah setitik air hujan mengenai kepala aku.

“ Ada hikmahnya Siva. Dalam Islam, apabila hujan turun ia menandakan pintu doa semakin terbuka besar. Masa nilah orang Islam akan cuba berdoa sepenuh hati agar hajat yang diingini tercapai.” Sampuk si Samdol sambil mengarahkan pandangan aku ke khalayak orang Islam yang begitu khusyuk menadah tangan ke langit dengan mata yang tertup rapi serta mulut yang berkumat kamit.


“Disamping itu juga, aku yakin dengan cuaca lembap begini, kemungkinan besar jikalau FRU tembak gas pemedih mata maka kesannya tidak akan kekal lama akbiat kelembapan udara yang ada. Udara yang lembap mampu melunturkan kesan perolakan molekul-molekul gas tersebut dengan cepat kerana kandungan air dalam udara menjadi penghalang kepada pergerakan molekul gas tersebut.” Hujah Samdol dengan panjang.


Walaupun aku bukan orang Islam, pada waktu itu apabila melihat suasana yang begitu padu dengan lautan manusia yang memakai baju berwarna kuning telah membuat aku percaya Tuhan sedang memudahkan urusan kami semua. Keyakinan itu diperkukuhkan lagi oleh hujah Samdol berkenaan peranan hujan dalam melumpuhkan kesan gas pemedih mata yang berkemungkinan besar akan digunakan sebentar lagi apabila perarakan bermula.


Sehari dua sebelum ini, aku sibuk juga menelaah kata-kata pemimpin Melayu UMNO dalam setiap media elektronik dan cetak. Ternyata larangan keras yang boleh juga disamakan dengan gertakan terhadap rakyat yang ingin menyertai perhimpunan BERSIH pada hari ini ditimbulkan begitu meruap-ruap sekali. Aku pada mulanya fikirkan perhimpunan ini tidak akan berjaya kerana larangan keras dariapan IGP Ketua Polis Negara dan PM sendiri mungkin sedikit sebangak telah melemahkan psikologi rakyat Malaysia yang ingin menuntut perubahan secara aman.


Ternyata jangkaan aku itu mula meleset sedikit demi sedikit setelah suasana dalam Masjid Jamek yang berwarna kuning itu telah mewarnai motivasi dan keyakinan aku dengan lebih utuh bahawa perhimpunan ini akan berjaya seperti yang dirancangkan. Aku mungkin tidak tahu apa yang mereka doakan itu, tapi aku percaya antara isi doa itu semestinya berkenaan dengan perhimpunan besar-besaran ini.


Polis sudah mula kelihatan di luar Masjid Jamek. Cota kayu turut berada kemas disisi masing-masing . Mungkin semua ini menjadi satu gertakan awal buat rakyat yang telah lama menunggu di dalam Masjid Jamek tadi.



Haramkah semua ini? Mengikut kata pihak kerajaan benda ini haram disebabkan tidak ada permit polis tetapi mengikut perlembagaan Negara yang berlandaskan demokrasi berparlimen perhimpunan secacra aman boleh dilakukan dan kebebasan bersuara mestilah dijunjung tinggi.


Yang mana lebih tinggi sekarang? Undang-undang mulut yang PM jaja ataupun perlembagaan Negara yang luhur? Setahu aku, tidak ada lagi pindaan yang dibuat mengenai hak kebebasan bersuara dan perhimpunan aman.


Ah, politk Malaysia memang begitu. Mereka hanya pandai menyalak itu ini haram tetapi datang bab rasuah seperti yang dilaporkan oleh auditor Negara pada bulan lepas tidak pula ditegur haram oleh kerajaan. Setahu aku, Ustaz Mat Imam Masjid Kampung Baru pernah berceramah depan aku di kedai kopi Kasim tentang halal haram dalam menguruskan Negara dan rasuah sudah tentu termasuk dalam sebahagian besar daripada perkara haram yang dimaksudkan oleh Ustaz Mat.



2.30 pm.


"Takbir!"


"Allahuakbar!"


"Takbir!"


"Allahuakbar!"


Lautan manusia berwarna kuning sudah mula mengorak langkah meninggalkan perkarangan masjid. Aku dan Samdol berpegang tangan dengan erat bagi mengelakkan daripada berpisah dalam lautan kuning yang penuh semangat itu.


Teriakan demi teriakan rakyat ketika itu menuntut keadilan dalam sistem pilihan raya bergema sekitr kawasan Masjid Jamek. Walaupun aku tidak pernah mengucap syahadah seperti Samdol, aku tanpa rasa malu terus saja menyahut takbir yang dilaungkan oleh para peserta perhimpunan yang lain. Meremang juga bulu roma aku. Semacam dapat satu suntikan antibiotik setiap kali bertakbir bersama mereka.


Disudut jalan dihadapan masjid, kelihatan manusia bertopi merah sudah mula mengambil tempat secara sistematik. Kelihatan juga 3 lori FRU gergasi sedang berdiri teguh seperti singa kelaparan. Kecut perut juga melihat mereka.


“ Rileks Siva, Kita dah persiapkan mental sejak 2 minggu lepas lagi. Provokasi seperti ini tidak mungkin dapat meleraikan semangat kita. Teguhkan semangat kau!”


“Baik Dol, aku cuba…”


“Dush!!!!!”


Tembakan air daripada water cannon FRU membasahi para peserta perhimpunan. Bertempiaran aku dan Samdol ketika itu. Mata aku mula rasa pedih dan sengit. Kerongkong pula berasa kering. Adakah aku akan mati?



“Piap!” hinggap penampar tangan Samdol ke arah pipi aku.


“Siva! Kau jangan pitam pulak! Nak basuh muka ko dengan air mineral aku ni”


Setelah membasuh muka aku mula rasa segar. Mata aku mular meliar semula. Aku lihat peserta perhimpunan mula masuk semula ke dalam Masjid Jamek. Kelihatan juga beberapa kumpulan kecil yang berkumpul disekitar perkarangan stesen STAR LRT menunggu peluang keemasan untuk melepaskan diri daripada blockage FRU.



“Kita tak boleh tunggu kat sini! Mesti cari jalan keluar!” sahut seorang abang yang memakai windbreaker.


“Betul! Saya rasa kita mesti ikut jalan ke arah Stesen Bas Kelang. Disana ada jalan tikus yang boleh menembuskan kita ke arah Istana!” sapa seorang lelaki muda yang tinggi lampai.


Kelihatan juga FRU semakin menghampiri pintu pagar Masjid Jamek. Nampak gayanya ramai yang akan terkandas didalam masjid. Kami tidak boleh berbuat apa-apa dalam situasi tersebut kerana ini perhimpunan aman. Tiada sebarang arahan untuk kami berhadapan terang-terangan dengan FRU. Konsep taat kepada pimpinan BERSIH perlu ada. No accidental heroes on that particular moment. Everything goes with the flow.


3.00 pm


Penat sungguh kami berjalan. Dari Masjid Jamek kami menapak menyusuri lorong-lorong tikus sehinggalah tiba di perkarangan Pasar Seni. Dari situ kami meneruskan ekspedisi kami sehinggalah melalui jalan besar menuju ke Kampung Attap.


Kami seolah-olah tidak percaya. Rupa-rupanya bukan kumpulan kami sahaja yang menapak dari jauh, terdapat satu jalur panjang dari bahagian lain yang mengiringi kami dari tepi. Semua menuju ke destinasi keramat pada hari itu: Istana Negara.



The Unsung Heroes: Unit AMAL Parti Islam Se-Malaysia.


Sepanjang-panjang kami berarak ke arah Istana Negara, kelihatan beberapa anak muda dari Unit Amal, sebuah unit bantuan PAS sedang tekun memberi panduan dan arahan kepada kami semua. Mereka semua merupakan unsung heroes pada hari itu. Mana tidaknya, disiplin dan komitmen yang tinggi jelas ditunjukkan oleh mereka yang kelihatan kacak dalam uniform ungu gelap itu.


Akhirnya, kami semua tiba di destinasi yang ditetapkan. Kelihatan jalan raya menuju ke depan Istana Negara sudah dikuningkan dengan rakyat yang sedang menanti dengan sabar.


Berapa agaknya bilangan yang sudah tiba? Aku tidak dapat mengira satu persatu bilangan peserta yang sudah tiba tetapi suasana ketika itu sudah melimpah-limpah dengan rakyat yang berpakaian kuning.


Jalan tikus diredah. Ihsan: Malaysiakini.com


50,000 mungkin? Aku difahami beberapa kumpulan peserta masih dalam perjalanan ke arah kami. Sungguh menakjubkan. Walaupun jalan-jalan utama sudah dikekang oleh FRU, rakyat masih mampu meneruskan perjalanan melalui jalan-jalan tikus. Inilah dinamakan keadilan. Tidak ada sesiapa mampu memadam api keadilan kerana keadilan datang dari Tuhan bukan dari mana-mana kerajaan ataupun penguasa.


3.20 pm


Helikopter yang bingit. Suara keadilan tetap padu.



Hujan renyai-renyai mula berkurangan tetapi kehadiran peserta masih tidak surut-surut. Sememangnya, hari ini membuktikan rakyat tidak akan bingkas meninggalkan perjuangan menuntut keadilan dalam system pemerintahan Negara. Walaupun lecak, padat dengan manusia serta bunyi bising helicopter yang terbang rendah untuk menimbulkan interferens bunyi ketika para pimpinan berucap, semua itu tidak melemahkan semangat rakyat yang hadir.


Kami semua sedang menunggu ketibaan Anwar Ibrahim bersama-sama memorandum yang akan disampaikan kepada Sultan Mizan. Rakyat masih terus melaugkan keadilan. FRU masih berdiri tegak dihadapan perhimpunan kami.



Selang beberapa minit, Presiden PAS Tuan Guru Haji Hadi sudah mula menghampiri ‘pentas’ yang didirikan oleh tangan-tangan para peserta perhimpunan.


“Takbir!”


“Allahuakbar!”


Ternyata kehadiran beliau seolah-olah menyuntik para peserta dengan semangat 10,000 orang yang baru tiba. Takbir dilaugkan berkali-kali dan ucapan beliau disahut dengan laungan demokrasi adil dan bersih.


Tidak lama selepas itu, hero reformasi Negara muncul dihadapan kami. Jikalau Mawi membuat para wanita Melayu gila, Anwar Ibrahim mampu lakukan lebih daripada itu.


“Reformasi! Reformasi!”


Anwar seolah-olah seperti de facto Perdana Menteri bagi rakyat yang tertindas. Aura kepimpinannya masih berbisa seperti dahulu. Sukar hendak difikirkan seseorang yang berumur 60 tahun masih berbisa seperti anak muda di universiti tahun 70-an dahulu sepertimana yang ditulis dalam rencana-rencana media alternatif.



Pimpinan rakyat bersama rakyat, bukan bersinggah sana dalam mahligai idaman.


Apabila kepimpinan tertinggi mula turun padang, maka kuasa reformasi sukar lagi hendak dibendung. Rakyat tetap dan akan bersama mereka sehingga selesai penyerahan memorandum kepada Sultan Mizan.


4.15 pm.



Kami menunggu dengan penuh sabar dan tenang. Sesekali kami berasa kaget juga melihat FRU dan polis seolah-olah ingin sahaja menggunakan kekerasan untuk meleraikan perhimpunan aman itu.


Aku yakin, kepimpinan parti alternatif dan NGO yang lain sedang berusaha dengan bijak bagi mencapai objektif perhimpunan pada hari itu: menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong-Sultan Mizan.


Lebih kurang 15 minit kemudian, kami telah diberitahu oleh wakil BERSIH bahawa Setiausaha Sultan Mizan sudah menerima memorandum yang dibawa oleh pimpinan. Kami bersyukur. Laungan keadilan dan demokrasi kembali bergema.


Kami diarahkan untuk berundur ke belakang dengan tenang menuju ke Masjid Negara. Maka berakhir sudah episod bersejarah buat Negara tercinta ini. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana tidak menerima sebarang kecederaan serius melainkan kaki aku yang melecet akibat berjalan jauh.


Hero of the day: Saudara Amri dari Shah Alam. Setakat melecet apa lah sangat nak dibandingkan dengan pengorbanan Amri.

Apakah melecet di kaki aku ini sama parah dengan luka rakyat yang menunggu selama 50 tahun menuntut kepimpinan yang lebih adil lagi telus?




Tahniah dan syabas kepada semua. Ini merupakan permulaan kepada perkara yang lebih besar kelak buat Negara ini. Aku berbangga menjadi salah seorang pembersih kotoran degil demokrasi versi Malaysia ini. Terima kasih kepada Samdol dan rakan taulan yang lain kerana sudi berjuang bersama aku walaupun kita berlainan agama dan rumpun.


Bukankah keadilan milik semua?

3 comments:

Anonymous said...

alangkah ruginye aku x de di situ menyaksikan hari bersejarah malaysia..
=(

Anonymous said...

salam..saye hanya mahu mengajukan pertanyaan..saye amat menyokong niat suci bersih.ntuk mengembalikn keadilan kepada rakyat.tapi kite juge tau bersih diterajui juge oleh pemimpin2 parti2 politik bukan saje dr PAS malah DAP dan NGO2 laen.kte sume sedia maklum akan matlamat perjuangan DAP kn..malaysian for malaysian..atau dgn kate laen ntuk menghapuskn hak istimewa org melayu.NGO2 yg laen plak..yg support bersih ni..x taula plak saye matlamat2 perjuangan mereke.saye cume risaukn ade pihak yg akan menangguk di air keroh.bertalam due muke.paham2 jela maksud saye kn.so..soalan saye..adakah relevan ntuk kte mengambil lim kit siang sebagai pemimpin kte yg terang2 memusuhi hak keistimewaan org melayu.mohon penjelasan yg bernas dr tuan punye blog.salah silap harap maafkan.

Hassan Ramadan said...

Salam,

Dalam Islam, kita ada Fiqh Awlawiyat iaitu mengenai Fiqh Kepentingan. Dalam keadaan negara yang memang terang2 menghadapi masalah kejujuran dalam pemerintahan, tidak menjadi masalah untuk kita bersama-sama bergabung memerangi ketidak adilan tersebut. Keadilan bukan milik khas orang Melayu sahaja.

Like it or not, Malaysia ini terbina bukan kerana satu kaum. Itu realiti. Macam mana kita bertekak orang Melayu perlu jadi superior pun, dalam realiti kita perlu mengaku perkongsian kuasa dan ekuiti kekayaan itu perlu bagi menjamin keamanan sejagat.

Sebab itu, Tuan Guru Nik Aziz selalu menekankan Islam yang sebenar yang tidak bertunnjakng ultra nasionalis mahupun perkauman.

Kerjasama PAS bersama DAP dan Keadilan tidak mempengaruhi pendirian pas dalam mendaulahkan kembali islam di Malaysia.


Sudah tentu situasi Islam di sini sangat berbeza berbanding negara Muslim yang lain. Kita bukan Turki, bukan juga Iraq. Malaysia is Malaysia. Maka pendekatan untuk memperjuangkan keadilan buat Islam dan orang Melayu juga perlu lebih terbuka dan tidak sempit ke arah satu kaum ataupun satu agenda.


Saya percaya DAP bukanlah kuda tunggangan mana-mana pihak asing. Daripada PAS, DAP dan Keadilan bertekak sesama sendiri untuk menetukan ini negara Islam ataupun tidak adalah lebih baik untuk mereka bersama-sama berpadu tenaga menentang kezaliman pemerintah yang sudah 50 tahun hisap darah rakyat.


Dalam pada masa yang sama, golongan siswa dan intelektual Melayu (ulama', ahli akademik) perlu peka dan bersedia menghadapi senario politik dan sosial yang lebih kompleks buat masa akan datang jikalau berlaku sebarang pertikaian .

A quick suggestion: Focus upon the most common issues and needs that Malaysian people need be it Malay or Chinese.