Monday, October 08, 2007

Tips unggul memandu sempena Hari Lebaran

Salam memandu,

Untuk edisi kali ini, penulis ingin menyumbang sedikit ilmu bagi menyelamatkan modal insan yang berharga kepada ummah. Ya, andalah yang sedang membaca artikel ini merupakan modal insan yang cukup berharga kepada agama, bangsa dan negara.


Walaupun anda rasa kecil dalam masyarakat, tetapi kehilangan anda sedikit sebanyak boleh menurunkan GDP ekonomi negara untuk sekian peratusnya. Seperti mana kematian Puteri Diana atas sebab kemalangan jalan raya yang telah memberi tekanan kuat kepada Kerabat Diraja Britain dan mungkin kecelakaan nasib anda di atas jalan raya kelak bakal mengubah sosio ekonomi negara, masyarakat dan yang paling hampir ialah keluarga anda tersayang.



Tips 1: Jauhi laluan memotong


Jikalau anda memandu di bahu kiri jalan atau di tengah-tengah laluan, peluang untuk anda tidak terjerebak dengan kemalangan adalah sangat baik. Kajian menunjukkan bahawa kemalangan banyak berlaku di atas laluan memotong (fast lane). Anda juga memperolehi peluang yang tinggi untuk terus menghimpit ke tepi bagi mengelakkan masalah yang besar jikalau berlaku sesuatu di tengah dan kanan jalan.



Tips 2: Liarkan mata anda di hadapan ketika memandu


Liar memberi maksud menjegil. Menjegil memberi maksud yang lebih mendalam dan sesuai dikategorikan sebagai peninjauan serius (serius observation). Anda bukan sahaja perlu melihat nombor plate kereta dihadapan malah anda perlu lihat trafik yang terbentuk dihadapan kereta tersebut juga. Ini dapat membantu anda melihat masalah di hadapan dengan lebih baik dan memberi peluang yang lebih untuk bertindak terhadapnya.


Tips 3: Berhati-hati dengan Blind Spots


Anda perlu perbetulkan cermin sisi (side mirror) dan rearview mirror anda untuk dapatkan pandangan yang betul-betul selesa untuk anda teliti. Anda juga dinasihatkan untuk sesekali untuk memandang ke sisi jalan untuk menampung kekurangan yang ditunjukkan oleh cermin sisi anda. Pemandu yang bijak akan sentiasa mengambil kira blind spots pemandu yang lain terutamanya pemandu trak yang besar.


Tips 4: Memandulah dengan posisi stering pukul 9 dan 3


Mungkin tidak macho dipandang begitu, tetapi teknik asas yang diajar oleh sekolah memandu anda ini mempunyai nilai yang cukup besar dari segi keselamatan memandu. Rahsia disebalik teknik ini ialah anda mampu mengawal kenderaan anda sepenuhnya jikalau berlaku kemalangan secara tiba-tiba.


Tips 5: Awasi pemandu lain berdasarkan rupa dan keadaan kenderaannya.


Jikalau kereta dihadapan anda usang malah kelihatan tidak diservis dengan baik (asap hitam), secara tidak langsung ia menggambarkan ciri-ciri pemandu yang tidak teliti akan aspek keselamatan pemanduannya. Jauhi jugak pemandu yang suka memegang telefon bimbit ketika memandu.


Tips 6: Tahu had laju anda.


Untuk ini, hukum fizik yang dipelajari semasa di peringkat sekolah sangat berguna untuk dijadikan benteng pemanduan yang lebih selamat. Pastikan anda tahu keadaan kenderaan anda memecut dalam setiap keadaan (bagaimana keadaannya jikalau dipandu diselekoh yang tajam dari segi respons stering etc.) dan tidak kurang juga memastikan masa tindak balas brek kereta anda untuk sekian had laju yang dipandu.


Tips 7: Servis kereta anda.

Tayar, enjin dan mana-mana komponen yang sensitif untuk perjalanan yang jauh perlulah di servis sebaik mungkin.


Tips 8: Malam adalah masa rehat.


Hukum yang Tuhan telah tetapkan sangat adil buat pemandu. Malam merupakan masa yang sangat tidak sesuai untuk bermusafir untuk jarak yang jauh. Keletihan dan penumpuan yang lebih oleh mata anda meningkatkan lagi risiko pemanduan yang kurang selamat. Cuba jauhi pemanduan di waktu malam.


Sebagai pemandu yang bijak lagi berhemah, kita perlu tahu bahawa memandu bukanlah kegiatan yang tidak menggunakan otak. Memandu merupakan latihan yang baik untuk disiplin diri sebagai manusia yang mematuhi undang-undang dan teknik memandu yang baik.


Dengan harapan tulus ikhlas, penulis berharap para pembaca budiman sekalian dapat menyampaikan artikel ini kepada para pemandu yang terlibat secara langsung dengan para pembaca sama ada ayah,ibu, abang mahupun pemandu bas ekspres yang membawa anda ke sana ke mari. Sama-sama kita pelihara keselamatan diri kita di atas jalan raya.


Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri , Maaf Zahir Batin.


Artikel ini diolah semula daripada penerbitan Utusan Konsumer edisi September-Oktober 2007 yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

1 comments:

chip said...

terima kasih maklumat berguna ini..saya akan jadikan sebagai rujukkan...http://cat-world.50webs.com